Tuesday, August 25, 2009

Dilema

Salam... Pernah ada sesiapa di sini yang pernah alami dilema tak? Terpaksa membuat pilihan yang boleh mengubah seluruh hidup kita. Satu keputusan yang kita benar-benar berharap bukan pilihan yang salah. Mengapa saya timbulkan persoalan ini?

Sebab saya sedang mengalami masalah ini. Buat masa ini, saya sedang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan bakal menghabiskan pengajian saya tidak lama lagi.

Masalah saya ialah sama ada ingin meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi atau pun terus memulakan kerjaya. Mungkin ini salah saya sendiri sebab tidak meletakkan matlamat saya dengan jelas.

Matlamat ataupun target saya adalah untuk dapatkan pengajian yang baik dan seterusnya mencari pekerjaan yang baik supaya saya dapat menolong ibu saya menyara kehidupan keluarga. Saya dapati bukan senang menjadi seorang ibu tunggal. Oleh itu, saya tidak mahu ibu menanggung beban ini seorang diri.

Pada awalnya, ibu mahu saya meneruskan pengajian sampailah ijazah, sama seperti hasrat arwah ayah sejak dulu lagi. Beberapa lama selepas itu, ibu mahu saya mencari pekerjaan telebih dahulu, barulah sambung belajar ataupun bekerja sambil belajar.

Melihat keadaan dunia kita pada masa kini, bagi saya agak sukar untuk mencari pekerjaan dengan hanya segulung diploma. Sedangkan graduan ijazah pun banyak yang mengganggur. Tetapi mereka mempunyai lebih besar peluang unuk memperoleh pekerjaan. malahan, kirteria yang diperlukan dalam kebanyakkan jawatan memerlukan ijazah.

Saya ada bertanyakan perkara ini kepada saudara mara terdekat, kesemuanya mahu saya meneruskan pengajian, sehinggakan makcik saya, kakak arwah ayah, menangis teresak-esak mahu saya teruskan. Saya tahu, makcik nak tunaikan hasrat arwah.

Bagaimana dengan kemahuan saya? Saya pernah melepaskan impian saya sewaktu saya sedang memilih tawaran-tawaran yang diberikan kepada saya selepas SPM. Tetapi, akibat keadaan keluarga pada masa itu, saya memilih kos pengajian yang berpatutan dan belajar untuk menyukai bidang yang dipilih, iaitu Diploma in Technology (Telecommunication Engineering). Kini, saya merasa selesa dengan bidang tersebut.

Alhamdulillah, gred saya pun tidak mengecewakan. Oleh itu, sebelum saya tamat pengajian, apa yang harus saya pilih? Padahal, saya sendiri tidak tahu kemahuan saya. saya akui, saya malu dengan diri saya sendiri, kemahuan, cita-cita dan impian saya sendiri saya tidak pasti.

Bak kata, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Walau apapun keputusan saya kelak, saya berharap ianya tidak mendatangkan kemudaratan bagi diri saya sekeluarga. Amin.

No comments:

Post a Comment

Intense Debate Comments